Rabu, 01 Januari 2014

Pakar Shila Amzah Perlu Orang Tengah


Pakar: Shila Amzah Perlu Orang Tengah
Pakar: Shila Amzah Perlu Orang Tengah - LAMAN sosial menjadi medan masyarakat masa kini melepaskan perasaan baik sedih mahupun sebaliknya.
Minggu lalu, penyanyi popular, Shila Amzah mencuri tumpuan umum selepas melahirkan perasaannya di laman mikro Twitter dan Youtube ekoran konflik cinta yang dihadapinya.
Pensyarah Sekolah Psikologi dan Pembangunan Manusia, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Dr. Khaidzir Ismail berkata, perkara itu merupakan tindakan biasa ekoran berlaku perubahan zaman.
“Jika dahulu orang guna surat untuk menyatakan perasaan apabila tak nak melepaskannya secara berdepan. Ada yang guna orang tengah dan sekarang ini, orang guna laman sosial apabila tak dapat berterus terang atau berhadapan dengan orang yang disayangi.
“Itu yang menyebabkan mereka melepaskan perasaan dalam sumber lain contohnya Facebook, Twitter, YouTube dan sebagainya,” katanya kepada Sinar Harian Online.
Namun, menurut beliau, jika melibatkan banyak pihak tindakan tersebut tidak matang berikutan perkara tersebut sewajarnya diperbincangkan.
“Kalau dilihat dari beberapa aspek… itu (guna laman sosial luah perasaan) tidak matang. Sepatutnya perkara itu dibawa berbincang, tetapi oleh kerana ketidakmatangan itu, ia berlaku. Kenapa orang tak matang? Sebab dalam keadaan tertekan, fikiran terganggu dan tidak stabil.
“Sebab itu dia tidak boleh memberi pertimbangan yang waras. Maka, dia fikir tindakan itu dapat menyelesaikan masalah. Dia beranggapan itu yang terbaik,” katanya.
Menurutnya, jika konflik ini berterusan, pihak yang terlibat akan terluka daripada segi emosi.
“Andai perkara ini berterusan, individu terbabit akan terluka daripada segi emosi. Terguris hati. Dalam hal ini, perlu ada orang tengah.
“Cari orang tengah yang dapat menyelesaikan masalah ini. Kalau kita tengok sebenarnya kecil saja masalah itu tetapi kerana bermain dengan perasaan, ia jadi semakin besar,” katanya.
Tambahnya, “orang yang memerhati jangan pula mengeruhkan lagi keadaan.”
Shila dikatakan menghilangkan diri sehingga menyebabkan ayahnya, ND Lala membuat laporan polis.
Berhubung tindakan Shila melarikan diri untuk menenangkan perasaan, Khaidzir berkata, “ia bergantung pada individu.”
“Terpulang. Ada sesetengah orang tak mahu mengeruhkan keadaan, dia tak akan buat tindakan begitu. Tetapi ada sesetengah orang yang buat juga sebab ada pendirian dia sendiri,” kata beliau.
Dalam pada itu, Shila disifatkan tidak stabil ketika membuat keputusan.
“Apabila dilamun kemanisan cinta, maka dia tidak dapat memberi pertimbangan yang waras.
“Kalau dia matang atau waras, dia akan fikir kalau… aku buat begini, bagaimana keluarga aku… bagaimana kerjaya aku dan bagaimana dengan peminat aku?
“Tetapi apabila dia sudah normal kembali, barulah dia akan nampak siapa ayahnya, siapa peminatnya, yang mana kerjayanya dan sebagainya,” katanya.
Beliau juga meramalkan konflik ini akan berakhir dalam masa terdekat.
“Isu ini akan berakhir juga. Tak lama. Orang lain pun banyak yang menghadapi masalah seperti ini cuma tidak diberi perhatian seperti ini. Memandangkan dia ‘public figure’, ia menambah tekanan,” katanya.
Dalam pada itu, seorang kaunselor dari pusat psikologi juga berpendapat bahawa pasangan selebriti, Shila dan Sharnaaz Ahmad harus berbincang bagi menangani konflik kisah cinta mereka.
“Jalan terbaik adalah bawa berbincang. Berbincang antara keluarga bagi kedua-dua belah pihak. Mungkin nak letak syarat, berapa tahun perlu tunggu dan sebagainya.
“Dia sayangkan mak ayahnya, keluarganya dan pada masa yang sama dia sayang juga pada kekasihnya.
“Penyelesaiannya adalah berkahwin tetapi sekarang mungkin tak boleh. Jadi, kedua-dua belah pihak perlu fikir,” katanya.
Mengulas soal tindakan penyanyi berusia 23 tahun ini yang menggunakan media sosial untuk meluahkan perasaan, beliau menjelaskan:
“Dia (Shila) tak ada orang nak diajak berbincang ketika itu… tak ada orang yang nak memberi dia pandangan atau sokongan yang lebih rasional, jadi dia terpaksa guna laman sosial.
“Apabila emosi terganggu, tak kira kita ini ‘public figure’ ke atau sesiapa saja, apa pun boleh berlaku terutama sekali jika dia ‘public figure’,” katanya.
Tambah beliau, “ada orang kata macam-macam… lagi berkecamuk fikiran dia. Mungkin ada orang yang kutuk atau marah dia…dia akan rasa kecewa.”
Katanya, dari sudut kaunseling keluarga, perbincangan merupakan jalan terbaik bagi mencapai persetujuan bagi kedua-dua belah pihak.
“Mungkin ayahnya berpendapat, jangan kahwin sekarang adalah yang terbaik. Itu dari sudut pandangan ayahnya, tetapi dari sudut perasaan anak, kita tak tahu. Sama ada kecewa, tertekan atau patah hati.
“Sebagai ibu bapa, kita sayang anak tetapi kita kena hormati perasaan anak juga terutama sekali apabila anak sudah menjangkau usia 20-an. Ini adalah lumrah, apabila sampai satu masa mereka perlukan seseorang yang disayangi.
“Perkara ini dalaman… dalam psikologi kita sebut sebagai emosi. Jika, emosi dia terganggu kita tak tahu apa akan berlaku, kita tak nampak. Andai si anak bertindak melarikan diri dari rumah atau berkahwin di Thailand, ia mungkin menjadi masalah,” katanya yang berharap
perkara negatif itu tidak berlaku. – Sinar Harian

Tidak ada komentar:

Posting Komentar