Akhramsyah Muammar Ubaidah Sanusi - anak lelaki Tan Sri Sanusi Junid - melengkapkan perebutan empat penjuru, setakat ini, bagi jawatan ketua Pemuda Umno pada pemilihan parti itu Oktober ini.

Menyifatkan dirinya sebagai calon underdog, Akhram bakal mencabar penyandang Khairy Jamaluddin.

NONEDalam sidang medianya pagi ini, beliau berkata tuduhan Pemuda "tidak lagi mendesak dan menjulang obor perjuangan agenda Melayu" adalah antara sebab beliau menawarkan diri bertanding jawatan nombor satu pergerakan itu.

Malah, katanya, wujudnya rintihan dan kebimbangan akar umbi pemuda bahawa Umno tidak menjaga kebajikan mereka, dasar kerajaan yang tidak mencapai sasarannya, antara sebab beliau menawarkan diri bertanding jawatan itu.

"Rintihan akar umbi Pemuda juga timbul tentang sentuhan kepimpinan yang dikatakan tidak cukup kerap sampai ke bawah.

"Dan lebih parah lagi, ada orang muda yang kini menuduh pemuda sebagai tidak lagi mendesak, tidak lagi menjulang perjuangan agenda Melayu," katanya.

Dua lagi muka baru menawar diri untuk merebut jawatan ketua Pemuda Umno ialah ketua Pemuda Umno Bahagian Merbok, Karim Ali dan penolong setiausaha Pemuda Cawangan Pusat Bandar Taman Chempaka, Selangor, Syed Rosli Syed Harman Jamalullail.

Laporan Utusan Malaysia menyebut, Karim akan menyerahkan borangnya esok dan bertanding demi "mengembalikan kepercayaan anggota masyarakat terutama golongan muda dalam parti."

Sinar Harian pula melaporkan Syed Rosli yang berusia 37 tahun itu "tidak sabar" untuk menyerahkan borang pencalonannya di ibu pejabat Umno, Pusat Dagangan Dunia Putra esok.

Menurut Rosli, beliau tidak gentar bertanding kerana merasakan sudah tiba masanya pergerakan itu dipimpin oleh pemimpin dari peringkat akar umbi.

Dalam pemilihan parti 2008, Khairy berdepan dua calon - anak kepada bekas perdana menteri Datuk Mukhriz Mahathir dan bekas menteri besar Selangor Dr Mohamed Khir Toyo.

Khairy memenangi pertandingan tersebut walau hanya mendapat 53 pencalonan dalam sistem lama pemilihan, berbanding 62 pencalonan diperolehi Khir dan 74 yang diperolehi Mukhriz.
Dalam pemilihan kali ini, Mukhriz yang juga menteri besar Kedah mengelak dari bergeser dengan Khairy sekali lagi dengan mensasarkan jawatan naib presiden.
Mukhriz ketika mengumumkan hasrat untuk bertanding jawatan itu semalam tampil dengan slogan "Berani Berubah", selepas bapanya Tun Dr Mahathir Mohamad menimbulkan saranan agar perubahan dilakukan dalam Umno untuk menampilkan pemimpin muda, terutama di peringkat majlis tertinggi.