Selasa, 17 Desember 2013

Pergerakan Jemaah Haji Ke Arafah Bermula


MAKKAH – Jutaan jemaah haji mula bergerak ke Padang Arafah pada Ahad menjelang hari wukuf Isnin.

Bagi pergerakan jemaah haji Malaysia yang diketuai Ketua Rombongan Haji Tabung Haji (TH) Datuk Syed Saleh Syed Abdul Rahman pula diatur secara berperingkat bermula 11 pagi waktu tempatan sehingga Ahad malam, dengan menaiki bas.

Mengiringi para jemaah Malaysia ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom bersama Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH Datuk Ismee Ismail.

Wukuf merupakan salah satu rukun haji yang perlu dilaksanakan bermula pada 9 Zulhijjah dan jemaah mesti melaksanakannya dengan berada di Arafah walaupun hanya untuk seketika. Bagi jemaah haji yang sakit, pasukan perubatan TH membawa mereka ke Arafah menggunakan ambulans.

Selepas waktu maghrib di Arafah, jemaah akan dibawa bermabit (bermalam) di Muzdalifah yang terletak kira-kira lapan kilometer dari Arafah. Di situ, jemaah akan mengutip batu-batu kecil untuk melontar jamrah di Mina pada keesokan harinya.

Menurut Syed Saleh, TH berharap dapat membawa semua jemaah Malaysia ke Muzdalifah selewat-lewatnya pukul 11 malam bagi membolehkan mereka berehat sebelum bertolak ke Mina.

Ketika melaksanakan wajib haji melontar jamrah, jemaah Malaysia lazimnya berbuat demikian pada sebelah malam kerana pada waktu itu kawasan jamrat kurang sesak, katanya.

Beliau berkata selesai melontar, bermabit dan bertahlul (memotong rambut) di Mina, mereka akan kembali ke Makkah untuk melakukan tawaf rukun diikuti bersaie (berulang alik) antara Bukit Safa dan Marwah. – BERNAMA

Tidak ada komentar:

Posting Komentar