Selasa, 17 Desember 2013

Tiga sekawan dituduh rogol cabul gadis

Wartawan Sinar Harian
24 November 2012
3 sekawan - rogol
Tertuduh ketika dibawa keluar dari kamar mahkamah.
JOHOR BAHRU - Tiga lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, semalam, atas pertuduhan merogol dan mencabul seorang gadis berusia 15 tahun, pertengahan bulan ini.

Mohd Nordin Mohd Noor, 25; Suhaimi Ibrahim, 24, dan Mohd Farieq Che Ali, 20, membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan dibacakan kepada mereka di hadapan Hakim Nu’aman Mahmud Zuhudi.

Mengikut kertas pertuduhan, ketiga-tiga mereka didakwa merogol mangsa di rumah di Taman Daya di sini antara jam 1 hingga 3 pagi, 12 November lalu.

Dakwaan terhadap tiga sekawan itu dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Jasmee Hameeza Jaafar mengikut Seksyen 376 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Nua’aman menetapkan ikat jamin sebanyak RM15,000 setiap seorang dengan seorang penjamin.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret pula, adik kepada Mohd Nordin, Muhammad Azman, 23, juga tidak mengaku salah atas pertuduhan mencabul gadis terbabit di lokasi, tarikh serta masa sama.

Mengikut pertuduhan, Muhammad Azman didakwa menggunakan kekerasan jenayah dan mencabul kehormatan pelajar terbabit dengan cara memegang buah dada dan punggungnya.

Tertuduh yang merupakan seorang mekanik itu didakwa di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan dan boleh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebatan atau dua daripada hukuman itu sekiranya sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Afif Mohd Ali. Majistret Mohd Isa Mohamed mengarahkan tertuduh membayar jaminan sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin.

Kesemua mereka diwakili oleh peguam bela Izzat Muhtar dan sebutan semula kes ditetapkan pada 11 Disember depan.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar